Butterworth: Naluri seorang ibu bagaikan dapat berasakan ada sesuatu tidak kena apabila anak lelakinya yang berusia tiga tahun pulang daripada rumah pengasuh dalam keadaan lapar sejak beberapa hari lalu, akhirnya terbukti benar.
Malah, pemeriksaan mengejut dilakukan wanita berkenaan di rumah pengasuh anaknya di Taman Sri Pinang dekat sini, jam 10 pagi, kelmarin mendapati tangan anaknya terikat ke belakang dan kaki turut diikat dan dibiarkan terbaring di atas lantai.
Lebih mengejutkan wanita berkenaan, ketika itu hanya anak pengasuh berkenaan yang berusia 11 tahun berada dalam rumah manakala pengasuh terbabit tiada di rumah.
Sumber berkata, berikutan itu, wanita yang bekerja kilang itu membuat laporan polis kelmarin dan pengasuh terbabit ditahan hari sama.
“Wanita berusia 38 tahun itu menghantar anak lelakinya ke rumah pengasuh berusia 39 tahun di kawasan flat sama, sejak Jun tahun lalu dan pada hari kejadian, dia menghantar anaknya seperti biasa jam 5.30 pagi.
“Sebelum ini, tiada masalah, namun wanita itu curiga selepas anaknya pulang daripada rumah pengasuhnya dalam keadaan lapar sejak beberapa hari lalu.
“Berikutan itu, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya didera membuat pemeriksaan mengejut dengan pergi ke rumah pengasuh pagi, semalam (kelmarin),” katanya.
Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan pengasuh mengikat anaknya.
“Pengasuh mendakwa mengikat tangan kanak-kanak itu menggunakan tali pinggang dan kaki dengan tali kerana dia terlalu nakal, namun tiada kecederaan lain ditemui pada badan mangsa,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek direman tiga hari sehingga Jumaat ini.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/5272
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Budak Diikat Tangan dan Kaki Oleh Pengasuh"
Post a Comment