Wanita Malaysia Jurubahasa si Penipu Facebook



Kekurekure menulis : Sindiket penipuan online yang makin berleluasa kini sangat membimbangkan. Sindiket penipuan cinta Facebook didalangi lima penuntut lelaki Nigeria dipercayai mengupah wanita tempatan sebagai jurubahasa bagi mengolah ayat-ayat cinta menarik di laman sosial.

Taktik itu digunakan pakai berikutan mangsa dalam kalangan wanita tempatan lebih mudah terpedaya dan dipikat dengan menggunakan gaya penulisan bahasa Melayu atau Inggeris.

Sindiket itu yang bergiat aktif sejak lebih enam bulan itu akhirnya tumpas selepas semua suspek termasuk seorang wanita tempatan berjaya diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan pada Jumaat dan kelmarin lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek sebelum ini dikesan sudah menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

“Hasil maklumat risikan serta intipan dilakukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh sejak sebulan lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Nigeria pada jam 3.30 petang Jumaat lalu di sebuah rumah di Bukit Puchong, di sini.

“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan bersama seorang lagi lelaki Nigeria di sebuah rumah di Desa Jaya di sini, lima jam kemudian,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki Nigeria jam 3 petang kelmarin di sebuah rumah di Kajang.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan menggunakan taktik menjerat mangsa melalui perbualan di laman sosial sebelum menjalin hubungan cinta.

“Mereka akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun sindiket dengan menggunakan pelbagai alasan.

“Sehingga kini beberapa mangsa dikesan mengalami kerugian RM223,000 membabitkan sindiket itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Difahamkan semua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu adalah penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara.

Junaidi berkata, polis turut merampas enam komputer riba, 10 telefon bimbit, dua Ipad, 20 kad pengeluaran wang automatik (ATM), satu buku cek, lima modem internet, beberapa cop, dan buku akaun bank.

Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. - Hmetro

Kekurekure harap agar kita semua jangan teripu dengan helah seperti ini.

0 Response to "Wanita Malaysia Jurubahasa si Penipu Facebook"

Post a Comment